KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak akan mengikut jejak langkah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terpaksa mengambil cuti lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga terhadap wabak Infulenza A H1N1 atau selsema babi walaupun seramai enam pelajar UniMAP dikesan mempunyai simptom-simptom wabak itu pada 24 Julai lalu.
Naib Canselor UniMAP, Brigedier Jeneral Datuk Profesor Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan memberi cuti atau menutup kelas tidak akan menyelesaikan masalah malah akan merebak lebih luas.
Menurutnya, UniMAP sanggup mengambil risiko untuk meneruskan proses pembelajaran namun masih dalam langkah berjaga-jaga terhadap penyebaran wabak ini.
“Kalau kita memberi cuti kepada pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung, saya khuatir wabak ini akan terbawa bersama dan berjangkit kepada keluarga dan penduduk setempat.
“Atau mungkin bagi pelajar yang negatif, sekiranya mereka pulang ke kampung dan didapati kampung mereka disahkan ada kes, kemungkinan apabila pulang ke kampus, mereka akan membawa wabak tersebut masuk ke sini (UniMAP),” katanya ketika sidang media sejurus selepas mendapat makluman mengenai insiden empat pelajar tersebut.
Dr Kamarudin berkata, UniMAP tetap memandang serius perkara ini dan mengambil langkah pantas dengan mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri.
Difahamkan, kejadian tersebut bukanlah berlaku di kawasan keseluruhan UniMAP namun hanya di Kampung Wai, Kuala Perlis, iaitu tempat penginapan pelajar.
Keempat pelajar tersebut yang tinggal serumah dikuarantin di satu tempat selamat tujuh hari bermula 24 Julai lalu dan perbincangan antara UniMAP dan Jabatan Kesihatan Negeri telah memutuskan tidak menutup universiti seperti IPT lain kerana ia merupakan kejadian terpencil di Perlis.
“Ia hanya berlaku di kawasan terpencil kerana UniMAP merupakan kampus berselerak. Keadaan sekarang mampu dikawal oleh UniMAP dengan bantuan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” katanya.
Hari ini aktiviti kuliah atau makmal ditukarkan serta merta kepada aktiviti ‘Kempen Kesedaran Kesihatan’ untuk seluruh warga UniMAP.
UniMAP turut mengambil langkah proaktif dengan menangguhkan beberapa aktiviti utama universiti yang akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menumpukan kepada aktiviti kesihatan dan kebersihan peringkat UniMAP.
No comments:
Post a Comment